Friday, September 20, 2013

An Epic Journey Sharing - translated to Malay part 3

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Lalai sangat dalam urusan dunia. Saham akhirat dah lama tak top up. Isk..isk..isk (sambil geleng kepala sendiri). Oklah..kita sambung dari siri yang lepas...

Dalam ayat 30-33, menceritakan kisah yang saya kira sangat famous tatkala nama Nabi Yusuf AS disebut. Cerita ini tersebar meluas di kota, dan terdengar lah suara-suara sumbang yang mencaci perbuatan isteri al-Aziz itu. Apabila kata-kata itu sampai kepada isteri al-Aziz itu, dia pon menjemput perempuan-perempuan di kota ke rumahnya. Setiap mereka diberikan pisau untuk memotong makanan. Dia (isteri al-Aziz) menyuruh Yusuf AS untuk keluar memperlihatkan dirinya dan ketika perempuan-perempuan itu melihatnya, mereka terpesona dengan eloknya rupa paras nabi Yusuf AS dan tanpa mereka sedar, mereka telah melukakan tangan mereka sendiri.

Isteri al-Aziz pon pulang paku buah keras, dia cakap : “Inilah orangnya yang menyebabkan kamu mencela aku kerana aku tertarik kepadanya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina."

Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka. Jika aku tidak Engkau hindarkan dari tipu daya mereka, nescaya aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentu aku termasuk orang yang bodoh".

Allah memperkenankan doa Nabi Yusuf AS, dan atas persetujuan beberapa pihak, mereka merasakan beliau harus dipenjarakan. Mungkin kedengaran tidak logic tapi hikmahnya Nabi Yusuf dapat menghindar dari terus diganggu oleh isteri al-Aziz dan berisiko untuk melakukan maksiat.

Dalam ayat ini juga membuktikan nabi tidak terlepas dari godaan dan jikalau tidak dengan perlindungan Allah, mungkin akan terjerumus untuk sama-sama melakukan dosa, oleh itu orang yang beriman tidak boleh hanya mengharapkan kebolehan dirinya sendiri sahaja untuk melindungi diri dari berbuat dosa, dengan kata lain jangan terlalu yakin kita akan dapat menghindarkan diri dari sebarang jenis godaan, sebaliknya sentiasa berdoa supaya Allah melindungi kita dari melakukan dosa dan menolong kita agar tidak terjebak dalam situasi yang membolehkan kita melakukan dosa.

Ok, sekarang kita dah masuk bab seterusnya perjalanan hidup Nabi Yusuf AS di penjara.

Semasa di dalam penjara, Yusuf AS telah didatangi dua orang lelaki dan mereka menceritakan mimpi mereka kepada Nabi Yusuf. Mereka lalu meminta Nabi Yusuf AS menafsirkan mimpi mereka. Sebelum menunaikan permintaan kedua-dua lelaki itu, Nabi Yusuf sempat memperkenalkan diri beliau sebagai utusan Allah, dan pada masa yang sama beliau berdakwah kepada kedua-dua lelaki itu. Seperti di dalam ayat 38-40.
38. "Dan aku menurut ugama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah. Mentauhid - mengesakan Allah ialah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
39. "Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?
40. Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah Ugama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Hanya dari 3 ayat, tak kurang dari 5 pengajaran dapat disimpulkan:

  1. Seorang Muslim haruslah menjadi umat yang berguna tidak kiralah dalam keadaan apa dan di mana dia berada, hatta di dalam penjara sekalipun.
  2. Dan amatlah penting untuk kita bertanyakan hal kepada yang pakar, dalam contoh ini kedua-dua lelaki itu telah mengetahui bahawa Yusuf AS sangat pandai menafsir mimpi, maka mereka pon mendapatkan nasihat beliau.
  3. Pengajaran yang ketiga, kita ditunjukkan sekali lagi sifat kenabian Yusuf AS dari segi komitmen beliau terhadap tauhid, beliau menggunakan kesempatan yang ada walaupon sedikit untuk menyampaikan dakwah. Sambil menyelam minum air.  Ayat ini juga sekali lagi menunjukkan keyakinan Yusuf AS terhadap role model beliau iaitu ayah, datuk dan moyang beliau.
  4. Permulaan ayat ke-39, cara Yusuf AS memanggil kedua-dua lelaki itu dengan cara yang sangat sopan, bukan merendah-rendahkan mereka, inilah cara yang patut kita guna untuk mendekati golongan yang belum lagi Islam ini. Adalah menjadi hak mereka (orang yang belum lagi Muslim ini) untuk belajar dengan cara yang paling baik, dan kita harus tunaikan hak itu. Dakwah tidak boleh keras.
  5. Kita bukan sahaja dituntut untuk menyeru ke jalan Allah, tetapi kita juga hendaklah menerangkan betapa banyaknya limpah kurnia Allah SWT kepada kita
  6. Teknik berdakwah/pengajaran boleh jadi dalam bentuk persoalan, tidak semestinya dalam bentuk syarahan sahaja, ini akan trigger audience kita itu untuk berfikir, sebab tu cikgu atau pensyarah suka tanya soalan.
  7. Dakwah yang paling utama adalah mengajak untuk percaya kepada Allah yang satu, apabila mereka betul-betul yakin akan hal itu, barulah boleh masuk bab lain, solat, puasa dsb..tapi penting untuk pastikan yang akidah mereka mantap dahulu, bila hati dah yakin, insyaAllah mereka tidak akan ada masalah untuk menunaikan perintah Allah yang lain.
  8. Ayat 40 juga menerangkan dua jenis tauhid:


  • Tauhid al-Rububiyyah : percaya Allah itu satu dan unik dari segi segala sifatnya, dan tiada yang dapat menyerupai Allah (penduduk Mekah yang bukan Islam juga percaya akan hal ini)
  • Tauhid al-Uluhiyyah : percaya tiada yang layak disembah melainkan Allah SWT, segala ibadah luaran dan dalaman, kata-kata dan perbuatan dan ketaatan kita diniatkan dan ditujukan semata-mata kepada Allah SWT. Dalam tauhid inilah ramai yang tersasar, musrikin Mekah contohnya mereka percaya kepada Allah, tapi pada masa yang sama mereka juga percaya kepada bermacam jenis ‘tuhan’ yang lain, ibadah mereka juga ditujukan untuk lebih daripada satu tuhan. Jangan kata musyrikin Mekah, orang Melayu kita pon tak kalah ni. Solat 5 waktu tak tinggal…tapi kalau ada yang tak puas hati mulalah cari bomoh dan pawang nak mintak tolong selesaikan masalah, moga kita dijauhkan dari sifat-sifat ini.

InsyaAllah, akan bersambung di siri akan datang.
Pesanan pihak penaja, dah baca Surah al-Kahf hari ni? :)

Wassalam..

0 tribe leader(s) has spoken:

Post a Comment

“Flatter me, and I may not believe you. Criticize me, and I may not like you. Ignore me, and I may not forgive you. Encourage me, and I will not forget you." ~ William Arthur Ward...

So what say you? ;)